Sunday, December 5, 2010

Siapakah Ibn al-Jauzi?

Dilahirkan pada 508 Hijrah di Baghdad. Ibunya menghantar untuk mempelajari agama pada usia 6 tahun. Masanya dihabiskan dengan menghafal al-Quran atau membaca kitab dari kulit muka hingga ke kulit penutup. Beliau lebih muda 38 tahun daripada Sheikh Abdul Kadir al-Jilani. Ibn al-Jauzi pernah membaca sejumlah 20,000 buah kitab.


Pada kitab Said al-Khatir yang ditulisnya , beliau menyatakan (terjemahan),

"Tidak berlebihan sekiranya ku katakan aku telah membaca 20,000 buah kitab semasa hari-hariku di bangku sekolah. Melalui pembacaan tersebut, aku dapat ketahui dan mempelajari akan erti keberanian, jiwa yang besar, pendidikan yang luas, serta hafalan yang kukuh, ketakwaan, kesungguhan di dalam solat dan ibadat oleh ulama-ulama dan orang-orang soleh yang terdahulu yang mana tidak mungkin ku ketahui tanpa membaca kitab-kitab tersebut. Pembelajaran dan penelitian mengenai sesebuah kitab di zaman itu juga telah mendedahkan betapa singkatnya pengetahuan ulama-ulama di zaman kita dan betapa malapnya semangat para pelajar di zaman ini."


Ibn al-Jauzi telah mengarang lebih 1000 buah kitab dalam pelbagai bidang ilmu. Meskipun kemahiran beliau dalam ilmu Hadith dan Fiqg, beliau juga prihatin dengan ilmu sejarah terutama keperihalan para Anbiya, para sahabat Nabi termasuk para Awliya.

Dalam kitabnya Said al-Khatir, Ibn al-Jauzi menyimpulkan (terjemahan):
"Aku merasakan pendidikan dan pembelajaran di bidang sains perundangan Islam dan ilmu hadith sahaja adalah tidak berkesan untuk mencapai kelembutan dan ketulusan hati yang mana ianya (ketelusan hati) mampu menarik dan menyebabkan cinta dan makrifat ketuhanan itu terbit. Satu-satunya cara untuk mencapai tahap ini adalah dengan mempelajari kisah-kisah hidup para guru-guru sufi dan mereka yang mahir dalam bidang ini yang mana hati mereka sentiasa bersih dan suci. Pengetahuan mengenai Halal dan Haram serta hukum-hakam sahaja tidak mampu menghasilkan hati yang suci, bersih dan murni. Hati yang suci, bersih dan murni terhasil daripada peristiwa-peristiwa yang mendatangkan kesan kepada hati seperti yang telah -disebutkan dalam hadith-hadith dan kisah hidup para ulama zaman dulu. Para ulama zaman dahulu telah menyedari tentang hakikat sebenar Iman dan menghayati di dalam kehidupan mereka yang mana bukan hanya memperolehi pengetahuan dalam bidang tersebut. Apa yang dicadangkan dan dibentangkan kepada anda adalah pengalaman peribadiku. Aku telah melihat pada ahli hadith dan pelajar mereka mengkaji dan mempelajari riwayat hidup dan perihal rawi-rawi dan bagaimana untuk mengklasifikasikan sesuatu hadith sebagai Sahih atau Dha'if.

Begitu juga halnya dengan para hakim dan qadi yang begitu taksub dan menumpukan pada kaedah perdebatan, hujah dan perbahasan demi memenangi dan mengatasi lawan mereka. Bagaimanakah ini semua dapat menghasilkan hati menjadi suci dan tulus? Dahulunya orang ramai biasa menziarahi para ahli sufi, wali-wali dan orang-orang ketuhanan untuk membentuk akhlak serta kelakuan mereka menuruti contoh yang ditunjukkan oleh orang-orang yang warak ini dan bukan pula untuk mendapatkan ilmu-ilmu mereka. Dan sesungguhnya ini (akhlak dan kelakuan) adalah matlamat dan tujuan sebenar dalam mencari ilmu pengetahuan itu sendiri. Haruslah difahami dengan jelasnya bahawa adalah sangat mustahak untuk disertakan satu mata pelajaran mengenai kisah hidup para wali, ahli sufi dan orang-orang warak di dalam kurikulum pembelajaran undang-undang dan hadith."

Dimanakah hendak dicari seorang alim zaman ini yang membaca lebih 20,000 kitab? Berapa ramaikah ulama yang kini menjadikan amalan khatam al-Quran seminggu sekali?


*rujukan: buku Menyingkap Misteri Pulau Besar, penulisnya Ana Faqir*

0 comments: