Majlis zikir dimulakan sebaik sahaja selesai solat maghrib berjemaah. Madrasah dipenuhi umat. Diketuai oleh Tuan Guru Sheikh Faiz. Malam tadi tenang, hujan renyai-renyai menjadikan keadaan malam tadi sejuk dan mendamaikan. Tuan Guru mengingatkan untuk berniat segala hajat di hati kerana pintu rezeki sedang terbuka luas. Setiap zikir dibaca penuh syahdu dan semangat. Nikmatnya malam yang Kau rezekikan padaku ini. Terima kasih, Ya Allah.
** Aku hanyalah insan yang penuh dengan dosa yang mahu mendekatkan diri kepadaMu dan bukan untuk menjadi pameran setiap amalku. Only Allah knows **
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit.
Baginda bersabda: Allah s.w.t bertanya para malaikat sedangkan Allah mengetahui pergerakan mereka dengan firmanNya: Dari mana kamu datang? Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hambaMu di dunia. Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dariMu.
Allah s.w.t berfirman: Apakah yang mereka pohonkan? Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dariMu.
Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat SyurgaKu? Para Malaikat menjawab: Belum, wahai Tuhan.
Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat SyurgaKu? Para Malaikat berkata lagi: Mereka juga memohon daripadaMu perlindungan.
Allah berfirman: Mereka pohon perlindunganKu dari apa? Para Malaikat menjawab: Dari NerakaMu, wahai tuhan.
Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu? Para malaikat menjawab: Belum.
Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat NerakaKu. Para Malaikat terus berkata lagi: Mereka juga memohon keampunanMu.
Allah berfirman: Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan. Para Malaikat berkata lagi: Wahai tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang hambaMu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di majlis itu. Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.
0 comments:
Post a Comment